Adakah Kanak-kanak Bisu dan Pekak Berupaya Memperoleh Bahasa Pertama?

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa pemerolehan bahasa pertama ini sering dikaitkan dengan bahasa yang kita peroleh semenjak dilahirkan ke dunia sehinggalah pada fasa yang mana kita akan mula memperoleh bahasa kedua secara formal mahupun tidak formal. Secara kebiasaannya, kita memperoleh bahasa pertama ini melalui bahasa komunikasi yang dituturkan bersama ibu bapa dan juga melalui pendedahan terhadap persekitaran hidup seseorang individu sejak lahir.

Namun, pernahkah anda terfikir adakah individu yang kurang upaya dari kecil dari segi deria seperti pekak /tuli dan dari segi pertuturan seperti bisu ini memperoleh bahasa pertama mereka seperti individu normal yang lain? Oleh itu, di sini saya ingin merungkai beberapa fakta yang menarik berkenaan topik tersebut.

Marilah kita lihat adakah kanak-kanak yang kurang upaya dari segi pendengaran dan pertuturan mampu memperoleh bahasa pertama mereka.

1. Kurang Upaya dari segi Pendengaran atau Pekak

Kurang upaya dari segi pendengaran atau lebih dikenali sebagai pekak adalah kecacatan deria pendengaran yang mana seseorang individu itu tidak dapat mendengar bunyi sama sekali, tidak kira mereka mendapat ketidakupayaan tersebut sejak lahir, secara mengejut ataupun kesan setelah terlibat dalam sesuatu kemalangan. Kebanyakan bayi dikesan pekak sekiranya mereka tidak menunjukkan tindak balas sekiranya ibu bapa mereka membuat bunyi ataupun ada kewujudan bunyi yang kuat di persekitaran mereka. Pada masa yang sama mereka mengalami pekak, mereka juga mengalami kecacatan pertuturan kerana tidak mendapat input dari persekitaran, iaitu bunyi di sekitar mereka atas sebab mereka mengalami pekak. 


Kanak-kanak yang mengalami masalah pendengaran ini tidak mudah bagi mereka untuk bertutur menggunakan suara mereka sendiri kerana sebahagian daripada mereka tidak mampu untuk mendengar, dan sebahagian daripada mereka yang pekak boleh mendengar namun memerlukan peranti pendengaran bagi mereka mendengar dengan lebih jelas. Semenjak dunia semakin berganjak moden, pelbagai teknologi moden telah diperkenalkan dan berkembang. Antaranya adalah teknologi Alat Bantu Pendengaran (ABD) dan Implan Koklea (IK) yang telah membantu anak bermasalah pendengaran untuk mendengar dengan lebih jelas dan seterusnya mempelajari kemahiran pertuturan dengan menggunakan teknik terapi pertuturan yang berkesan seperti Auditori Verbal. Terapi ini merupakan satu kaedah yang mana kanak-kanak mempunyai masalah pendengaran diajar untuk menggunakan pendengaran mereka untuk mempelajari bahasa pertuturan melalui alat pendengaran atau implan koklea.

Bagi kanak-kanak pekak yang memakai peranti pendengaran sejak dari mereka bayi lagi, mereka akan berupaya mendengar dan bertutur seperti kanak-kanak yang normal. Mereka secara tidak langsungnya menjalani fasa-fasa yang terlibat dalam pemerolehan bahasa pertama seperti kanak-kanak normal yang lain.

Kanak-kanak yang tidak pernah didedahkan dengan penggunaan peranti pendengaran akan mengalami kesulitan untuk berkomunikasi dengan sebahagian orang kerana setelah umur mereka semakin meningkat, mereka hanya cenderung untuk berkomunikasi melalui bahasa isyarat tangan sahaja. Pada masa yang sama, proses kognitif mereka juga terpaksa bergantung kepada penyampaian komunikasi bahasa isyarat yang disampaikan oleh penutur yang berkomunikasi dengan mereka.

Tetapi, pernahkah anda terfikir bagaimanakah orang yang cacat pendengaran berfikir sedangkan mereka tidak pernah mengenal percakapan?

Individu yang pekak mempunyai cara mereka tersendiri untuk berfikir. Mereka perlu mengetahui sekurang-kurangnya satu jenis bentuk komunikasi untuk bermonolog dalam minda atau mempunyai inner voice. Jadi, orang yang dilahirkan pekak mampu berfikir dalam minda mereka melalui proses menggambarkan bahasa isyarat yang mereka pelajari. Tanpa kemahiran tersebut, mereka sememangnya tidak mampu menterjemah dan mentafsirkan pemikiran mereka ke dalam sebarang bentuk.

Namun begitu, jika seseorang yang dilahirkan pekak dan mendapat latihan untuk bercakap di samping bahasa isyarat, dia mampu mendapat kebolehan untuk berfikir menggunakan kedua-dua bahasa yang dipelajarinya iaitu bahasa isyarat dan bahasa pertuturannya.

Jika manusia yang mampu mendengar dan berkata-kata, sama ada individu yang normal ataupun pekak dan menggunakan peranti pendengaran, mereka mempunyai suara yang sama dengan suara mereka bercakap ketika mereka berfikir. Namun begitu, bagi orang yang kurang upaya dari segi pendengaran tetapi mampu melihat diri mereka sedang berkomunikasi balik kepada mereka dengan bahasa isyarat, mereka hanya mampu berfikir dengan menggambarkan kembali bahasa isyarat yang dikomunikasikan.

Oleh itu, individu yang pekak sebenarnya boleh memperoleh bahasa pertama mereka, namun bergantung pada bagaimana mereka berkomunikasi dengan individu yang lain, sama ada secara pertuturan/percakapan, mahupun bahasa isyarat, begitu juga sekiranya mereka bermonolog. Pendek kata, bahasa isyarat adalah bahasa pertama mereka namun bukanlah secara lisan.

2. Ketidakupayaan pertuturan atau Bisu


Individu yang mengalami ketidakupayaan pertuturan ataupun bisu mungkin mengalami masalah dengan alat artikulasi manusia yang diperlukan untuk pertuturan seperti tekak, pita suara, paru-paru, mulut, atau lidah, dan lain-lain. Namun ada juga yang mengaitkan keadaan seseorang yang bisu ini dengan pekak atas sebab seseorang yang tidak dapat mendengar sejak lahir mungkin tidak boleh menyuarakan perkataan dengan betul. Ada juga yang merujuk orang bisu ini sebagai orang yang boleh mendengar tetapi tidak boleh bercakap. Ada juga yang memperkatakan bahawa bisu ini berlaku kerana kecacatan intelek dan autisme. Terdapat pihak juga yang menyimpulkan bahawa seseorang boleh bisu sejak lahir, atau menjadi bisu kemudiannya akibat penyakit atau kecederaan iaitu trauma pada kawasan Broca otak yang menyebabkan wujudnya sifat bisu.

Sama seperti individu yang pekak, individu bisu juga boleh berfikir walaupun tidak mengenal percakapan secara terus, terutamanya yang bisu sejak lahir. Mereka berfikir dan bermonolog melalui proses menggambarkan bahasa isyarat tangan yang dilihat dan dikomunikasikan.


Bagi mereka yang bisu namun tidak pekak, mereka mampu memproses bunyi persekitaran menjadi input dan memahami percakapan penutur normal namun mereka juga terbatas ketika ingin membalas mesej yang ingin disampaikan. Oleh hal yang demikian, kanak-kanak yang mengalami ketidakupayaan pertuturan ini perlu diajar dan diasuh dengan bahasa isyarat setelah mereka berjaya dikesan mengalami keadaan sedemikian. Tambahan pula, proses kognitif mereka juga boleh diperluaskan sepertimana kanak-kanak normal alami kerana mereka mampu memahami percakapan orang dan membalas mesej yang disampaikan melalui bahasa isyarat tangan. Pendek kata, mereka ini juga boleh memperoleh bahasa pertama namun hanya terhad kepada satu bahasa iaitu bahasa isyarat dan hanya kekal dengan konteks yang wujud dalam bahasa isyarat yang digunakan.

Kesimpulannya, ketidakupayaan dari segi pendengaran mahupun pertuturan ini sebenarnya masih banyak lagi perlu dikaji dan diproses untuk mendapat dapatan yang lebih sahih dan tepat. Kita sebagai manusia yang sempurna dari segi fizikal dan mental ini harus terus mengkaji lebih lanjut untuk membantu individu-individu yang mengalami ketidakupayaan ini supaya mereka mampu menjalankan hidup mereka seperti layaknya manusia normal yang lain.

Rujukan:

Khazriyati Salehuddin. (2018). Psikolinguistik: Penerokaan Minda Berlandaskan Bahasa. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia

Mohammad Azhar.(2015).Implan Koklea: Kaedah Awal Kesan Pekak dan Bisu pada Bayi, Bantu Atasi Masalah  Serius. http://akuazahar.blogspot.com/2015/11/implan-koklea-kaedah-awal-kesan-pekak.html

Namri Sidek. (2017). Bagaimana Orang Pekak Berfikir Sedangkan Tidak Mengenal Percakapan?,Psikologi,https://iluminasi.com/bm/bagaimana-orang-yang-pekak-berfikir-jika-mereka-tidak-pernah-mendengar.html

Nur Syuhada bt. Hosni.(2020).Pertuturan Anak Bermasalah Pendengaran, Bayi & Kanak-Kanak,http://www.myhealth.gov.my/pertuturan-anak-bermasalah-pendengaran/

Zulkeflee Haji Yaacob. (2022). Bahasa dan Lingusitik Komprehensif. Kota Bharu: Bunga Melayu Solution


Ulasan