Afasia Progresif Utama
Apakah Aphasia Progresif Utama (PPA)?
Primary Progressive Aphasia (PPA) merupakan sindrom neurologi yang mana keupayaan bahasa seseorang penghidap menjadi perlahan-lahan dan secara beransur-ansur terjejas. Tidak seperti bentuk afasia lain yang berpunca daripada strok atau kecederaan otak, PPA disebabkan oleh penyakit neurodegeneratif, seperti Penyakit Alzheimer atau Degenerasi Lobar Frontotemporal namun fungsi kognitif seseorang penghidap PPA masih utuh pada awal simptom. PPA terhasil daripada kemerosotan tisu otak yang penting untuk pertuturan dan bahasa. Walaupun gejala pertama adalah masalah dengan pertuturan dan bahasa, masalah lain yang berkaitan dengan penyakit asas, seperti kehilangan ingatan sering berlaku kemudian.
PPA biasanya bermula sebagai gangguan bahasa yang halus, berkembang menjadi hampir menghidap ketidakupayaan untuk bercakap sepenuhnya, dalam tahap yang paling teruk. Jenis defisit bahasa mungkin berbeza dari pesakit ke pesakit. Gangguan bahasa awal mungkin ialah Afasia Wernicke atau lebih dikenali sebagai afasia fasih, iaitu sebutan dan tatabahasa seseorang itu betul tetapi tidak mengandungi makna, dan pertuturan penghidap itu seakan normal sehinggakan pendengar berfikir bahawa dia salah mendengar pertuturan penghidap itu. Ada juga penghidap PPA yang mengalami gangguan awal seperti Afasia Broca atau lebih dikenali sebagai afasia tidak lancar pertuturan yang mana menyebabkan penghidap PPA sukar untuk menghasilkan ucapan dengan lancar dan efisien.
Seperti afasia yang berpunca daripada strok atau trauma otak, memperlihatkan PPA bergantung pada bahagian hemisfera kiri yang secara relatifnya lebih rosak pada mana-mana titik tertentu dalam penyakit. Seseorang penghidap PPA mungkin mengalami kesukaran memahami pertuturan atau tidak. Akhirnya, hampir semua pesakit menjadi bisu dan tidak dapat memahami bahasa lisan atau tulisan, walaupun tingkah laku mereka kelihatan normal.
Tanda dan gejala sindrom klinikal lain mengenai PPA tidak boleh dikesan melalui ujian yang digunakan untuk menentukan kehadiran penyakit afasia yang lain. PPA bukan seperti penyakit Alzheimer. Kebanyakan orang yang mempunyai PPA mampu mengekalkan keupayaan mereka untuk menjaga diri mereka sendiri, meneruskan hobi, dan ada segelintir masih boleh meneruskan pekerjaan seperti orang normal.
Adakah terdapat sebarang rawatan atau bantuan untuk orang yang mempunyai PPA?
Orang yang mengalami afasia progresif utama sedang berjuang melawan keadaan yang mana mereka akan terus kehilangan keupayaan untuk bercakap, membaca, menulis atau memahami perkara yang mereka dengar. Biasanya orang yang mengalami afasia akibat strok atau kecederaan kepala akan mengalami peningkatan dari semasa ke semasa, selalunya dibantu oleh terapi pertuturan. Ini tidak berlaku untuk orang yang mengalami afasia progresif utama. Walau bagaimanapun, individu yang mempunyai PPA mungkin mendapat manfaat semasa penyakit mereka dengan memperoleh strategi komunikasi baharu daripada pakar patologi bahasa pertuturan. Sesetengah keluarga juga telah mempelajari strategi baharu melalui penyertaan dalam kelompok atau kumpulan penghidap afasia dalam komuniti masyarakat.
Ramai juga penghidap afasia menggunakan kad pengesahan kurang upaya untuk membantu menerangkan keadaan mereka kepada orang yang hendak berkomunikasi dengan mereka secara tidak sengaja. Seperti di Malaysia, sesiapa sahaja menghidap atau mengalami kecacatan pertuturan, begitu juga dengan kecacatan deria dan intekletual, mereka harus mendaftarkan diri atau penjaga mereka membantu mereka mendaftarkan mereka di Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mendapatkan Kad Orang Kurang Upaya sebagai pengesahan mereka untuk mendapatkan keistimewaan yang sepatutnya mereka peroleh.
Selaras dengan perkembangan semasa, sesetengah peranti bantuan komunikasi juga boleh membantu mereka sepanjang perjalanan mereka menghidap PPA. Teknik bukan lisan untuk berkomunikasi, seperti memberi isyarat dan menunjuk pada gambar, boleh membantu orang yang mempunyai PPA meluahkan perasaan mereka.
Apakah Perbezaan Antara Penyakit Alzheimer dan Afasia Progresif Utama?
Semestinya kita akan mempersoalkan mengapa Afasia Progresif Utama (PPA) dikatakan amat ketara perbezaannya dengan penyakit Alzheimer. Seperti yang dikatakan sebelumnya, PPA bukanlah penyakit yang lupa semua perkara yang diingat, PPA adalah keadaan yang mana seseorang penghidap kehilangan kemahiran untuk berbahasa terjejas. PPA bukanlah seperti penyakit Alzheimer, iaitu beransur-ansur melupakan data atau input yang terkandung dalam kognitif seseorang penghidapnya.
Terdapat sebuah buku yang berjudul Where the Light Gets In: Losing My Mother Only To Find Her Again yang diterbitkan pada tahun 2016 yang ditulis oleh pelakon wanita Amerika Syarikat yang bernama Kimberly Payne Williams-Paisley. Buku itu menceritakan tentang perjalanan seorang anak yang mana ibunya ialah penghidap penyakit Afasia Progresif Utama dan dalam buku tersebut, terselitnya perbezaan yang ketara antara penyakit Alzheimer dan PPA.
Melalui pengalaman Kimberly Williams-Paisley, beliau telah mengetahui perbezaan antara penyakit Alzheimer dan afasia progresif primer selepas ibunya diagnosis dengan PPA. Kedua-dua situasi ini berkongsi banyak persamaan, dan mungkin sukar bagi orang awam untuk memahami perbezaannya.
Menurut Kimberly dalam bukunya, umur permulaan untuk Penyakit Alzheimer dan afasia progresif primer adalah berbeza. Kebanyakan orang yang didiagnosis dengan Alzheimer adalah berumur lebih dari enam puluh lima tahun. Simptom pertama demensia frontotemporal (FTD) sering menjadi jelas pada usia lima puluh atau enam puluh tahun, menjadikan penyakit ini lebih biasa di kalangan orang muda. Dr.Mesulam, iaitu doktor pakar neurologi memberitahu beliau bahawa PPA sering kali menjejaskan wanita berusia enam puluhan,seperti ibunya.
PPA mungkin menjejaskan orang lebih awal daripada kelompok umur itu. Selain itu, PPA menjejaskan kemahiran berkomunikasi atau berbahasa manakala penyakit Alzheimer menjejaskan ingatan. Dr. Mesulam mendasarkan kesimpulannya pada fakta bahawa kesukaran ibunya benar-benar mengalami penjejasan dari segi dengan percakapan dan penulisan, dan hal ini lebih merujuk kepada ciri-ciri afasia. PPA mula-mula menyerang bahagian otaknya dibelakang dahinya. Kawasan frontotemporal ini bertanggungjawab kepada perlakuan dan bahasa seseorang terutamanya. Setelah menjalankan beberapa ujian, doktor tersebut menjelaskan lagi kepada kimberly bahawa ingatan ibunya itu sihat. Itu sahaja yang membezakannya daripada penghidap Alzheimer, yang mananya simptom terawalnya biasanya pelupa dan sepatutnya mudah untuk dikesan
Kata kimberly lagi, sebenarnya ibunya kehilangan bahasa, bukan kehilangan ingatan, itu adalah ciri PPA awal yang dikesan olehnya pada ibunya itu
Kimberly Williams-Paisley menyimpulkan bahawa kedua-dua keadaan penyakit tersebut akan lebih menyerupai satu sama lain menjelang peringkat akhir. Doktor Mesulam telah memberi amaran kepadanya bahawa apabila penyakit itu berkembang, ibunya memerlukan bantuan pergi ke bilik mandi, mandi, berpakaian, dan makan. Beliau perlu memantau dan melihat perubahan tingkah laku ibunya itu. Tambahnya lagi, sekiranya ibunya itu menghidap Alzheimer, kemungkinan besar penyakit tersebut akan merebak ke seluruh otaknya. Kimberly perlu memantau ibunya sekiranya ibunya itu mempunyaI tingkah laku seperti dia akan menjauhkan diri dari persekitarannya, jarang bercakap, dan akhirnya kehilangan kawalan pergerakan dan keupayaan untuk menelan.
Dari situ, Kimberly sentiasa cakna dengan perkembangan ibunya dengan penyakit PPA yang dihidapnya, dan dari situ jugalah dia mengetahui perbezaan Alzheimer dan Afasia Progresif Utama (PPA).
Rujukan:
Esther Heerema. (2019). Aphasia Progresif Utama: Gejala, Jenis, Rawatan dan Prognosis.https://ms.approby.com/aphasia-progresif-utama-gejala-jenis-rawatan-dan-prognosis/
Khazriyati Salehuddin.(2018). Psikolinguistik: Penerokaan Minda Berlandaskan Bahasa. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia
Muhammad Ikraam Abdul Latif .(2019). Afasia (Aphasia). https://hellodoktor.com/keadaan-telinga-hidung-tekak/tekak/afasia-aphasia/
Yildirim.M, Varma.GS, Öncel.C, Şendur.I, Özdel O.(2017). Primer Progressive Aphasia with Psychiatric Symptoms. Acta Psychopathol Vol. 3 No. 4: 36. Department of Psychiatry, Pamukkale University, Denizli:Turkey .https://www.primescholars.com/articles/primer-progressive-aphasia-with-psychiatric-symptoms.pdf
Zulkeflee Haji Yaacob. (2022). Bahasa dan Lingusitik Komprehensif. Kota Bharu: Bunga Melayu Solution





Ulasan
Catat Ulasan